Tuesday 12 November 2013

PERISTIWA MENUJU KEMERDEKAAN TANAH MELAYU

TAJUK : PERISTIWA MENUJU KEMERDEKAAN TANAH MELAYU
                     

PENGENALAN

Kemerdekaan merupakan satu peristiwa yang teristimewa bagi rakyat Malaysia. Kemerdekaan mempunyai makna-maknanya yang tersendiri. Seperti kita tahu, kemerdekaan bererti kebebasan. Kemerdekaan bagi seseorang individu ialah bebas melakukan apa sahaja yang diingini oleh mereka tanpa sebarang halangan. Terutamanya kebebasan yang berkaitan dengan prinsip asas hidup mereka seperti memilih tempat tinggal, mengamalkan amalan serta kepercayaan masing-masing. Bagi mereka, mereka bebas melakukan apa sahaja yang mereka suka tanpa halangan dari pelbagai pihak. Namun begitu, bebas bagi sesebuah negara adalah dikaitkan dengan bebas dari cengkaman penjajah atau kuasa asing serta berusaha bangkit sebagai bangsa yang bermaruah.Selain itu, kemerdekaan juga dikaitkan dengan pemerintahan sendiri oleh penduduk-penduduk sesebuah negara yang secara amnya menuntut kedaulatan. Istilah kemerdekaan juga digunakan untuk membezakan penaklukan yang merujuk kepada sesuatu kawasan sebagai wilayah yang dikawal oleh sesebuah kerajaan luaran dari segi politik dan juga tentera. Kemerdekaan adalah besar maknanya bagi semua rakyat mengukuhkan tekad dan memperbaharui azam dan berusaha dengan lebih giat dalam membina masyarakat adil dan makmur.(Tun Abdul Razak,22 Sept 1970-14 Jan 1976)
Sebelum kemerdekaan terjadi, sesebuah negara tidak lepas dari dijajah oleh kuasa asing dimana kuasa-kuasa asing ini berlumba-lumba untuk mencari tanah jajahan untuk melebarkan pengaruh serta kuasa masing-masing. Perlumbaan kuasa-kuasa asing ini yang bermotifkan 3G (God,Glory, and Gold) telah menjadikan hampir semua negara dibenua Asia pernah merasai pengalaman dijajah kecuali China dan Thailand.
Negara-negara di Asia Tenggara bukan sahaja dijajah malah ada yang dijajah oleh beberapa kuasa asing secara silih berganti untuk jangka masa yang panjang sehingga memakan masa selama berabad-abad. Contohnya negara Malaysia, Malaysia merupakan sebuah negara yang pernah dijajah oleh beberapa kuasa asing: Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris semula sebelum mendapat kemerdekaan pada tahun 1957.

PERISTIWA BERLAKUNYA KEMERDEKAAN
LANGKAH AWAL MENUJU KEMERDEKAAN
Hasrat Inggeris untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu dapat dilihat daripada beberapa peristiwa penting yang berlaku pada tahun 1950-an. Antara peristiwa yang berlaku pada tahun itu ialah pengenalan Sistem Ahli dan Pilihanraya Majlis Tempatan.
1)      Memperkenalkan Sistem Ahli 1951
Sistem Ahli dibuat pada bulan mac 1950. Sistem Ahli ini bermula di London apabila penjabat tanah jajahan mula memikirkan pendapat untuk mengadakan Sistem Bermenteri. Tahun 1951, Sistem Ahlidiperkenalkan ke dalam Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan Persekutuan dengan beberapa orang ahli Masjis Mesyuarat Undangan dan ahli tidak rasmi yang dilantik diberi tugas memegang jawatan yang bertaraf menteri. Pada April 1951, buat pertama kali orang melayu dilantik mengetuai jabatan dan tanggunjawab penuh terhadap jawatan masing-masing.
Sistem ahli ini diadakan bertujuan untuk melatih penduduk tempatan untuk mengetuai pemerintahan Tanah Melayu. Idea pengenalan Sistem Ahli ini dicetuskan Dato’ Onn Jafaar setelah berunding dengan Sir Henry Gurney. British bersetuju untuk memperkenalkan Sistem Ahli ini kerana ianya selaras dengan konsep dekolonisasi, mengurangkan tekanan dari Parti KOMUNIS Malaya (PKM), dan elakkan penduduk tempatan terpengaruh dengan PKM.
Selain itu, Sistem Ahli ini penting kerana sistem ini merupakan tapak asas yang penting untuk melatih penduduk tempatan untuk berkerajaan sendiri. Sistem ini juga penting untuk memulakan proses perpaduan kaum di Persekutuan Tanah Melayu. Sistem ini menggabungkan pemimpin daripada pelbagai kaum yang terdapat di negara ini. Perkara ini merupakan asas penting untuk menentukan kemerdekaan yang bakal dicapai mendapat sokongan seluruh penduduk Persekutuan Tanah Melayu. Sistem Ahli telah memberi pendedahan yang baik kepada penduduk tempatan untuk mentadbir dan menerajui kerajaan walaupun masih dikuasi oleh British. Ingin membuka pintu UMNO kepada kaum-kaum lain menyertainya tetapi ahli-ahli UMNO menganggap ini sebagai satu ancaman, (Dato Onn Jaafar,1951)


2)      Pilihanraya Majlis Tempatan 1951-1952
Pilihanraya ini telah ditubuhkan adalah untuk proses ke arah berkerajaan sendiri. Tindakan yang telah diambil oleh Inggeris ini dapat dianggap sebagai langkah permulaan menuju demokrasi dan kebebasan kerana ia melatih orang tempatan untuk mentadbir dibawah pengawasan dan pertolongan British sebagai usaha kearah berkerajaan sendiri. Proses kearah berkerajaan sendiri diteruskan dengan Pilihanraya Majlis Tempatan yang pertama di Pulau Pinang pada tahun 1951 dan Kuala Lumpur pada tahun 1952. Dalam pilihanraya Majlis Tempatan di Kuala Lumpur, UMNO dan MCA secara tidak rasminya telah bekerjasama untuk menghadapi Parti Kemerdekaan )IMP) yang dipimpin oleh Dato’ Onn. Strategi yang digunakan untuk memenangi pilihanraya ini ialah UMNO meletakkan calon dikawasan ramai pengundi melayu manakala MCA pula bertanding di kawasan ramai penggundi Cina. Formula ini menampakkan kejayaan apabila gabungan UMNO-MCA telah memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.


          RUNDINGAN KEMERDEKAAN

Dalam rundingan kemerdekaan ini, Tunku Abdul Rahman sendiri telah mengetuai rombongan yang terdiri dari empat wakil Raja-raja Melayu dan empat wakil perikatan ke London untuk memulakan rundingan tersebut. Hasil daripada usaha dan kesungguhan beliau, Inggeris telah bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 23 Ogos 1957. Melalui perjanjian itu, dua perkara penting telah dipersetujui untuk diambil tindakan sebelum pengisytiharaan kemerdekaan berjalan dengan sebaik mungkin. Perkara pertama ialah, Pesuruhjaya Tinggi British akan terus menjalankan tugasnya selaras dengan nasihat Majlis Kerajaan Persekutuan kecuali dalam hal ehwal luar dan pertahanan. Perkara yang kedua pula ialah sebuah Suruhanjaya Bebas akan dibentuk untuk mengkaji dan mencadangkan sebuah perlembagaan Tanan Melayu yang merdeka dalam Komenwal British. Suruhanjaya Reid telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Lord Reid. Ahli-ahli lain terdiri daripada Sir Ivor Jennings (British), Sir Willian McKell (Australia), Tuan Malik( Hakim India) dan Tun Abdul Hamid (Hakim Pakistan). Suruhanjaya ini telah meninjau pendapat penduduk termasuk orang perseorangan dan parti politik di Tanah Melayu tentang cadangan perlembagaan yang akan dibentuk. Merdeka itu bukanlah satu benda yang yang mudah boleh didapati melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu iaitu pengorbanan yang sebanar pengorbanan.(Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, 1951)



PENGISYTIHARAAN KEMERDEKAAN

Raja-raja melayu bersama wakil kerajaan Inggeris telah menandatangani perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 15 Ogos 1957. Kemerdekaan Tanah Melayu telah dimulakan dengan upacara menurunkan bendera Union Jack dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Upacara ini dilakukan tepat pukul dua belas tengah malam pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor yang terletak bertentangan dengan bangunan Sultan Abdul Samad. Pada sebelah pagi 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu di Stadium Merdeka. Dalam upacara itu, Piagam Kemerdekaan telah diserahkan oleh Duke of Gloucester yang mewakili Queen Elizabeth kepada Tunku Abdul Rahman.

Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Perdana Menteri sementara Tunku Abdul Rahman Ibni Almarhum Yamtuan Muhamad telah ditabal sebagai Yang Di-Pertuan Agong yang pertama. Pada tahun yang sama, Tanah Melayu telah menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-lapan puluh dua. Janganlah sesiapa berfikir kita telah sampai ke penghujung jalan. Kemerdekaan memanglah sesuatu yang penting dalam sejarah kita tapi ia hanyalah permulaan kepada usaha baru dan berdaulat. (YTM Tunku Abdul Rahman Putra, 31 Ogos 1957-22 Sept 1970)

        KESIMPULAN

Setelah mencapai kemerdekaan, semua rakyat yang cintakan negara ini perlu  memenuhi tanggungjawab masing-masing untuk menjadi warganegara yang baik. Mereka bertanggungjawab untuk terus mempertahankan kedaulatan negara dengan tidak melakukan perkara negatif yang boleh mengundang musibah ke negara kita. Kejayaan sesuatu negara itu             bergantung kepada usaha tiap-tiap rakyat. (Tun Dr. Mahathir Mohamad, 1981-2005)


RUJUKAN
-Abdullah Ayub. (1978). Cara Pemerintahan Tanah Melayu (1957-1963). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
-Abdullah Ahmad. (1987). Tunku Abdul Rahman dan Dasar Luar Malaysia 1963-1970. Kuala Lumpur: Berita Publisher Sdn. Bhd.
-Lachlan. G. (2012).Malaya 1957. A Country gains freedom, but deep inthe jungle fighting continues. Published Authorhouse. United States America.
-Ibrahim Ismail (1992). Menuju Kelahiran Malaysia. Edusystem Publisher. The University of Michigan.

-Kamarudin M. Said (2004). Lima ratus tahun melayu menghadapi cabaran. Kris Publication Sdn. Bhd. Selangor Darul Ehsan.

No comments:

Post a Comment